Tan Sri Robert Kuok Hock Nien merupakan seorang usahawan
yang berjaya di Malaysia. Beliau telah dilahirkan pada 6 Oktober 1923 di Johor
Baru. Beliau merupakan seorang usahawan yang berbangsa Cina dan sekarang sedang
menetap di Hong Kong. Beliau merupakan orang terkaya di Malaysia. Beliau
mempunyai pelbagai jenis perniagaan dan banyak melakukan pelaburan di banyak
negara Asia. Antara perniagaan beliau merangkumi penanaman tebu di Perlis
(Perlis Plantation Bhd.), penapisan gula, pengilangan tepung, pemakanan binatang,
minyak dan perlombongan, kewangan, hartanah, hotel, perdagangan dang
pengangkutan serta penerbitan. Robert Kuok mengambil alih perniagaan bapanya
iaitu Keng Kang pada tahun 1949. Bapanya mengadakan hubungan yang baik dengan
Sultan Johor sehingga mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan serta menjual
barangan keperluan asas seperti beras, gula dan tepung dan juga membekalkan
barangan tersebut kepada 5000 tahanan Perang jepun kepada Kerajaan British.
Daripada pengalaman yang diperoleh, beliau telah mencontohi hubungan rapat yang
dipupuk oleh bapanya dengan pemimpin Melayu Johor. Hal ini membolehkan beliau
melebarkan rangkaian perniagaan yang dibina. Selepas merdeka, beliau
mengasaskan Malaysia Sugar Manufacturing Company dan mengadakan hubungan rangkaian
dengan Mitsui Bussan Kaisha Lt dan Sugar
Nissin Manufacturing. Syarikatnya mendapat pelbagai kemudahan serta memperoleh
status monopoli daripada pihak kerajaan. Beliau juga telah membuka ladang tebu
pertama negara iaitu Perlis Plantation di tanah milik kerajaan dengan bantuan
Felda. Beliau telah membuka banyak kilang di Malaysia dan Indonesia bagi
menampung permintaan yang tinggi terhadap gula. Urusannya juga mendapat
kerjasama daripada pihak berkuasa seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan
Amanah Saham Nasional yang membolehkan beliau mengekalkan hubungan peringkat
tertinggi dengan kerajaan. Dengan adanya hubungan rangkaian yang baik dengan
kerajaan telah mendorong kerajaan untuk meminta bantuan daripada Robert Kuok
untuk menubuhkan Malaysia-Singapore Airlines (MSA). Beliau juga terlibat dengan
penubuhan Bank Bumiputera Bhd dan Perbadanan Nasional Bhd yang dibentuk bagi
menarik penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Beliau juga telah
menubuhkan Kerry Trading Company dengan melangkah ke dalam bidang media serta
hartanah. Syarikat beliau mempunyai rangkaian kira-kira 10 buah syarikat
terbitan awam Hong Kong, termasuk south China Morning Post, dan juga akhbar
berbahasa Inggeris. Beliau turut mengambil alih TVE Holdings yang terbabit
dalam bidang hartanah, hiburan, runcit dan penerbitan . Beliau meluaskan
rangkaian perniagaannya sehingga ke Hong Kong dan China yang meliputi pelbagai
cabang perniagaan. Beliau merupakan orang yang pertama di Asia yang telah
berjaya mewujudkan rangkaian hotel lima bintang iaitu Shangri-La Hotel. Kini,
terdapat 72 buah hotel Shangri-La di seluruh dunia. Kesimpulannya, jelaslah Tan
Sri Robert Kuok merupakan seorang yang bijak dalam memperkembangkan rangkaian
perniagaannya mengikut peredaran masa. Beliau berjaya mengadakan hubungan yang
baik dan menjalankan rangkaian perniagaan yang kukuh dengan usahawan – usahawan
yang berjaya di Asia seperti Lim Sioe
Liong, Datuk Tan Chin Nam, Tan Sri Khoo Kay Peng , Run Run Shaw dan lain-lain.
Beliau juga amat menitikberatkan hubungan dan kerjasama yang erat dengan negara
Asia. Ini membuktikan bahawa ciri rangkaian dalam perniagaan dapat memberikan
banyak faedah kepada seseorang usahawan.
No comments:
Post a Comment