Friday 30 October 2015

PENGENALAN

Keusahawanan merupakan aktiviti yang membuat inovasi atau perubahan kewangan dan perniagaan dalam usaha mengubah dan menghasilkan sesuatu inovasi terhadap barangan mahupun perkhidmatan dalam sesuatu ekonomi. Menurut Histrich dan Peter (1998) , keusahawanan merupakan proses dinamik untuk mencipta kekayaan.
Manakala usahawan pula merupakan tenaga atau kualiti manusia yang bertanggungjawab dalam membentuk dan mewujudkan usaha-usaha atau kerja-kerja yang menggunakan faktor-faktor pengeluaran yang ada seperti tanah, modal dan buruh serta berkebolehan dalam melakukan pelbagai perkara. Antaranya, seseorang usahawan itu berupaya dalam mencari peluang pekerjaan, mengusahakan perniagaan yang membawa manfaat kepada dirinya sendiri dan masyarakat, menghasilkan sesuatu yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan ramai, sentiasa bersedia membuat pembaharuan untuk meningkatkan daya pengeluaran dan akhir sekali sanggup menanggung risiko yang bakal dihadapi.

Tambahan lagi, umat Islam digalakkan menceburi bidang perniagaan dan mencari rezeki yang halal. Umat Islam merupakan golongan terawal dan yang paling lama dalam sejarah tamadun manusia dalam membuat perniagaan hasil dorongan dan galakan dari agama Islam itu sendiri. Penciptaan produk-produk atau perkhidmatan melalui proses kreativiti dan inovasi dapat memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat. Produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang berkualiti yang dihasilkan dapat memaksimakan penggunaan sumber-sumber yang ada tanpa berlakunya pembaziran sumber. Oleh itu, masyarakat dapat menggunakan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah.

TAJAM DAYA PEMIKIRAN (DATUK LOH BOON SIEW)


Salah seorang tokoh yang mempunyai tajam daya pemikiran adalah Datuk Loh Boon Siew. Datuk Loh Boon Siew adalah seorang usahawan yang memperkenalkan kenderaan bermotor di Malaysia berjenama Honda yang tidak pernah terdapat di Malaysia pada waktu tersebut. Beliau berasal dari sebuah kampung iaitu Kampung Hui yang terletak di daerah Fukian yang merupakan sebuah wilayah di China yang dianggap sebagai wilayah paling miskin suatu ketika dahulu. Datuk Loh berasal dari sebuah keluarga yang sangat susah sehingga menyebabkan beliau tidak berpeluang untuk pergi ke sekolah. Oleh itu, sejak kecil lagi beliau telah bekerja sebagai pengutip najis yang digunakan untuk baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual yang dapat digunakan sebagai tambahan pendapatan keluarganya. Beliau bersama-sama ayahnya telah berhijrah ke Pulau Pinang ketika umur beliau 12 tahun dengan bekerja di sebuah kedai mekanik dan membasuh bas pada sebelah malamnya semata-mata untuk memperolehi pendapatan lebih supaya mereka dapat menghantar duit kepada keluarganya yang berada di China. Bagaimanapun, beliau lebih tertarik untuk berniaga sendiri ketika beliau berumur 18 tahun. Beliau sudah mula memikirkan cara yang perlu dilakukan untuk mendapatkan peluang tersebut. Hasil daripada wang yang disimpan, beliau membeli beberapa peralatan mekanik dan 8 buah bas yang dijadikan sebagai bas penumpang yang akhirnya mendatangkan hasil lumayan kepada beliau. Beliau berjaya mempunyai 40 buah bas dalam masa 7 tahun dan membuka lagi sebuah kedai iaitu kedai bateri dan barang ganti kenderaan. Datuk Loh Boon Siew mengembangkan lagi perniagaannya dengan menjual kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British. Pada tahun 1958, ketika beliau sedang makan angin di sebuah negara iaitu Jepun, beliau ternampak sebuah motosikal berjenama Honda dan berfikir bahawa motosikal tersebut masih belum pernah digunakan di Malaysia ketika  itu. Oleh itu beliau berusaha memesan 12 unit motosikal tersebut dan dijual kepada kawan rapatnya. Bagaimanapun, orang ramai menganggap motosikal tersebut tidak berguna dan cepat rosak. Tetapi, itu tidak mematahkan semangat beliau untuk menjadikan motosikal tersebut sebagai kenderaan yang diminati ramai. Kini, beliau berjaya menjadikan kenderaan jenama Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar yang dijual di negara ini sejak 3 tahun lalu.

BERWAWASAN (TAN SRI LIM GOH TONG)


                 Berwawasan adalah salah satu ciri-ciri penting untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Seorang usahawan yang mempunyai visi yang akan membuat keputusan yang terbaik berdasarkan pertimbangan faktor-faktor luaran seperti cabaran, ancaman dan peluang yang mereka akan hadapi ketika melakukan perniagaan. Visi ataupun wawasan adalah kunci bagi seorang usahawan menyusun atur rancangan jangka pendek mahupun jangka panjang untuk mencapai matlamat dan objektif mereka. (Mahmood et al ,. 2010). Tan Sri Lim Goh Tong adalah contoh yang sesuai untuk menggambarkan seorang usahawan berwawasan. Apabila menyebut nama usahawan ini, kebanyakan rakyat Malaysia akan mengenalinya beliau, ianya sinonim dengan pembinaan resort di bukitnya, yang juga dikenali sebagai Genting Highlands Resort. Seperti yang kita semua tahu, Tan Sri Lim Goh Tong digelar raja kasino Malaysia, yang menjadikan puncak bukit yang asalnya sebuah hutan kepada salah satu resort kasino yang paling berjaya di dunia. Tan Sri Lim Goh Tong mendapat ilham untuk membina sebuah resort dia atas bukit ketika beliau menghirup udara segar di Cameron Highlands pada tahun 1964 ("History", nd, para. 2).  Idea Tan Sri Lim Goh Tong telah diinspirasikan oleh Cameron Highlands di mana idea ini adalah untuk menyediakan rakyat dengan suasana yang menyeronokkan, santai dan angin sejuk yang menenangkan di tanah tinggi. Berfikir di luar kotak, berwawasan jauh untuk menjadikan sesuatu menjadi realiti pada masa akan datang dan membuat pembaharuan daripada idea yang sedia ada untuk menjadikannya lebih baik adalah faktor kejayaan Tan Sri Lim Goh Tong. Ini adalah ciri-ciri seorang usahawan yang perlu digunakan pakai oleh usahawan dalam bidang perniagaan. Tan Sri Lim Goh Tong, seorang pendatang Cina yang tidak mempunyai apa-apa ketika beliau tiba di Malaysia pada umur remaja beliau, menjadi contoh bagi komuniti perniagaan di negara ini, kata Dr Mahathir Mohamad, bekas pemimpin Malaysia. "Kalau ada lebih ramai usahawan seperti beliau, Malaysia akan mencapai lebih dalam pembangunan ekonominya," kata Dr Mahathir (seperti yang dipetik dalam France-Presse, 2007). Ciri-ciri yang dimiliki oleh Tan Sri Lim Goh Tong telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang usahawan berwawasan. Seperti yang kita dapat lihat, beliau tidak mempunyai apa-apa pada awal dan berusaha mengubah wawasan beliau yang dianggap mustahil oleh orang ramai menjadi kenyataan dengan membangunkan Genting Highlands. Tan Sri Lim Goh Tong ada menyebut bahawa projek Genting bersesuaian dengan idea perniagaan ideal beliau. Beliau juga menyebut bahawa tidak ada orang yang berminat di dengan projek itu dari awal, yang bermakna beliau tidak akan ada persaingan (Goh Tong a good role model, 2007). Ia menunjukkan bahawa Tan Sri Lim Goh Tong mempunyai visi dan mengambil peluang perniagaan untuk membina sebuah resort kasino di puncak bukit  sedangkan orang lain melihat ia sebagai idea yang tidak relevan. Wawasan dengan penyelidikan yang betul dan strategi perniagaan yang dirancang rapi akan mengubah sesuatu idea menjadi realiti. Ini adalah apa yang Tan Sri Lim Goh Tong lakukan untuk menjayakan wawasan beliau. Selepas melakukan penyelidikan dan kajian peta-peta di Kuala Lumpur, Tan Sri Lim Goh Tong telah mengenal pasti sebuah kawasan yang sangat ideal,  iaitu Gunung Ulu Kali dengan ketinggian 1800 meter, hanya 58 km dari Kuala Lumpur ("History", nd, para. 3). Ini adalah langkah yang semua usahawan perlu mengambil dalam usaha untuk berjaya dalam perniagaan. Kesimpulannya, kita dapat melihat bahawa Tan Sri Lim Goh Tong adalah seorang usahawan berwawasan yang menukar sesuatu yang mustahil di mata orang lain tetapi menjadi kenyataan di tangannya. Kami belajar bahawa berwawasan merupakan satu ciri penting untuk menjadi usahawan yang berjaya. Wawasan adalah sasaran dan objektif yang hendak dicapai usahwan. Dengan wawasan yang jelas, usahawan boleh merancang atau melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mencapai wawasan. Hampir 50 tahun kemudian, Genting Highlands terus membangun dan berkembang melebihi idea asalnya iaitu sebuah hotel dengan kemudahan pelancongan asas. Satu wawasan untuk membuka hotel tunggal pada tahun 1971 telah diperluaskan kepada beberapa kemudahan tambahan seperti kasino, beberapa buah hotel, sebuah taman tema, kereta kabel, padang golf dan pusat konvensyen ("Lim Goh Tong", nd).

KEGAGALAN ADALAH SATU PILIHAN (DATO’ ALIFF SYUKRI)



Dato’ Aliff Syukri bin Kamrzaman merupakan jutawan muda yang merupakan anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi. Beliau menggunakan tagline “Terlajak Laris” yang saban hari semakin popular di semua peringkat umur tidak kira tua mahu pon yang masih bersekolah rendah. Beliau membuka perniagaan D’Herd yang menjual pelbagai produk kecantikan dan kesihatan. Beliau mengambil cabaran dengan melopori perniagaan yang didominasi oleh wanita dan mengakui banyak cabaran dalam menjalankan perniagaan ini. Berhadapan dengan masalah modal bukanlah satu masalah kepada beliau kerana dengan azam dan tekadnya untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik untuk menambah pendapatan untuk keluarganya yang bergelar suami dan bapa pada usia yang muda menjadikan beliau berani mengambil risiko dengan melakukan pelbagai pekerjaan sendirian termasuklah menjadi pemandu dan ejen pemasaran kerana tidak mempunyai modal yang cukup untuk mengambil pekerja. Beliau tidak malu menjual dan mempromosikan produknya di pasar malam kerana beliau percaya produknya merupakan produk yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat. Kegagalan adalah satu pilihan namun, beliau banyak belajar dari pengalaman hidupnya yang lalu. Kehidupan masa lalu yang amat susah, yang hanya berbelanja 20sen di sekolah walhal rakan lain beliau berbelanja sebanyak 50sen menjadikan beliau tekad untuk mencari wang saku lebih dengan menjual jeruk sejak di bangku sekolah. Semangatnya yang jitu membuatkan beliau meneruskan menjual kerongsang, tudung serta barangan kosmetik. Pada waktu tengah hari pula, beliau meneruskan perniagaannya dengan mengetuk pintu pejabat tanpa berasa segan walaupun sesetengah pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan. Beliau banyak belajar dari pengalaman hidupnya yang susah, keuntungan yang diterima itu akan dikumpul dan disimpan untuk menyewa sebuah kiosk. Beliau akan ke bengkel kecantikan dan kesihatan untuk menimba  ilmu. Beliau mencuba sesuatu yang baru dengan mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Walaupun beliau sedar risiko untuk muflis itu ada, kerana menggunakan semua simpanan yang ada untuk menghasilakn produk baru namun ini tidak mematahkan semangatnya untuk mengeluarkan produknya sendiri. 

BUDAYA TERBUKA (PUAN ROZITA IBRAHIM)


Puan Rozita Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Ita merupakan seorang usahawan yang mempunyai ciri budaya terbuka. Puan Rozita merupakan seorang usahawan yang berasal dari Sungai Besar, Selangor tetapi dibesarkan di Felda Palong 7, Gemas, Negeri Sembilan. Beliau merupakan seorang wanita yang berasal dari sebuah keluarga yang sederhana hidupnya. Sebelum menceburkan diri dalam bidang usahawan, beliau terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang perit terutamanya apabila beliau menjadi ibu tunggal. Tragedi buruk berlaku ketika beliau terpaksa menyara anaknya yang berumur 3 bulan dengan menggantikan susu dengan air sirap kepada anaknya itu. Anak keduanya pula menghidapi penyakit dan lumpuh serta terpaksa menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubatinya tetapi meninggal dunia akibat tidak mendapat rawatan dengan baik. Kisah usahawan ini bermula apabila beliau bertemu dengan pelbagai golongan warga asing yang mahir dalam perubatan di samping mampu membantu beliau meluaskan pengetahuan mengenai herba ketika beliau bekerja di sektor perladangan ketika itu. Hal ini kerana, beliau berpandangan bahawa herba-herba yang diamalkan oleh warga asing tersebut menyebabkan mereka kuat bekerja walapun dengan hanya mengalas perut. Pelbagai perniagaan yang dilakukan oleh Puan Rozita sehingga beliau berjaya mengumpulkan modal sebanyak RM2000. Puan Rozita mula berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah hidupnya. Beliau mempelajari pelbagai pengalaman terutama dalam bidang perniagaan ketika beliau bekerja di Publishing Group. Bermula dari situ beliau membuat ubatan secara kecil-kecilan di rumah bagi mengumpul modal dan menambahkan pendapatan. Pada tahun 1997, beliau memulakan perniagaan dan menghasilkan satu produk yang berasaskan herba tradisional. Hal ini kerana, bagi Puan Rozita, kecantikan sebenar seorang wanita adalah kecantikan dalaman wanita tersebut. Disamping menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggannya, beliau juga sering menyalurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan kerana beliau sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh  mereka juga.

BERORIENTASIKAN HASIL (JIMMY CHOO)



Jimmy Choo seorang figura yang sangat dikenali  dengan rekaan kasut yang eksklusif dan bergaya. Beliau sering mendapatkan ilham dan ispirasi rekaannya dari alam sekitar dan semula jadi. Jimmy choo dilahirkan pada tahun 1961 di pulau pinang, Malaysia. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Beliau mendapat pendedahan awal mengenai taktik pembuatan kasut daripada ayahnya sendiri iaitu seorang usahawan yang menjalankan perniagaan membuat kasut dan merupakan seorang tukang kasut sepenuh masa. Kasut pertama yang dihasilkan oleh Jimmy Choo sendiri adalah ketika beliau berumur 11 tahun. Kemudiannya beliau menyambung pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di London. Pada tahun yang pertama, bapanya menanggung yuran pengajiannya, tetapi untuk 3 tahun seterusnya, segala yuran ditanggung sendiri olehnya dengan cara beliau melakukan kerja sambilan sebagai pencuci di restoran dan juga kilang kasut demi membiayai pengajiannya. Selepas empat tahun bersusah payah menghabiskan pengajiannya, beliau membuka kedai sendiri namun malangnya prestasi jualan kasutnya amat menyedihkan. Lama kelamaan, rekaannya mula diperkenalkan di UK apabila mendapat liputan di majalah Vogue yang dikenali sebagai majalah fesyen. Akan tetapi nasib masih belum menyebelahi figura ini apabila jualannya masih lagi merosot walaupun mendapat liputan media. Namun cepat mengalah dan putus asa bukan caranya untuk berjaya.  Pada 1990, segala usaha beliau berhasil apabila akhirnya mendiang Puteri Diana berkenan dengan salah satu rekaan kasut beliau. Semenjak dari itu, mendiang sering membeli rekaan kasut Jimmy Choo lantas melonjakkan nama pereka hebat ini ke persada antarabangsa. Bermulanya syarikat pertama yang diasaskan  figura ini  Jimmy Choo Ltd bersama Tamara Mellon, iaitu seorang editor Britis Vogue pada tahun 1996 . April 2001 pula, bagi menumpukan kerja yang dilakukan pada Jimmy Choo Couture yang baru dihasilkan melalui lesen daripada Jimmy Choo Ltd , Choo telah menjual pegangan 50% dalam syarikatnya dengan harga sebnyak £ 10 juta. Hasilnya kini, jenama kasut Jimmy Choo telah dikenali ramai sehingga menjadi kegilaan oleh artis mahupun selebriti Hollywood di serata dunia. Bukan itu sahaja, malah sepasang kasut wanita rekaannya mampu mencecah beribu-ribu US dollar. Tidah hairanlah apabila rekaan kasutnya ini dikaitkan dengan gaya, ketulenan dan kemewahan. 

BERORIENTASIKAN PASUKAN (TONY FERNANDES)




Kisah Tony Fernandes ini amat berkait rapat dengan ciri usahawan berorientasikan pasukan ini. Beliau merupakan seorang tokoh yang amat disegani kerana beliau berjaya mencetuskan perlbagai revolusi dalam industri penerbangan rantau Asia. Sebenarnya sebelum menjadi ahali korporat Berjaya. Beliau pada awalnya merupakan seorang ahli muzik yang mahir bermain keyboard. ‘“Saya sudah lama bercita-cita ingin menceburi perniagaan secara serius, tetapi tidak tahu perniagaan apa yang ingin dijalankan.” Itu lah apa yang diperkatakan oleh beliau sewaktu menceritakan detik permulaan beliau menceburi industri penerbangan. Idea untuk menubuhkan syarikat penerbangan datang secara spontan  ketika Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia itu menonton televisyen di London. Kerana terlalu tertarik ahirnya beliau membuat keputusan untuk perkenalkan perkhidmatan itu di Malaysia kemudian mengembangkan konsep itu di rantau Asia. Beliau menyatakan hasrat beliau untuk menjadi usahawan dan menubuhkan syarikat penerbangan kepada Datuk Kamarudin Meranum yang merupakan bekas kakitangan sebuah bank pelaburan dan kini menjadi Pengarah Eksekutif AirAsia. Setelah bersetuju, mereka turut menjemput  seorang lagi rakan baik mereka Aziz Bakar untuk menyertainya. Bagi mendapatkan lesen penerbangan, mereka meminta bantuan Datuk Pahamin Ab. Rajab yang kemudiannya mengatur temu janji bagi pihak mereka dan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Oleh kerana mereka dimaklumkan agar hanya mengambil alih mana-mana syarikat lain kerana lesen tidak lagi akan dikeluarkan, Fernandes dan rakan kongsi lain termasuklah Pahamin bersetuju untuk mengambil alih syarikat penerbangan AirAsia Sdn. Bhd. daripada DRB-Hicom Bhd. menerusi Tune Air Sdn. Bhd., pada 8 September 2001 untuk diterapkan konsep tambang murah. Walaupun mereka terpaksa hadapi pelbagai rintangan, namun sikap bekerjasama dan tanpa kenal rasa putus asa, mereka bersama membuktikan syarikat Malaysia juga mampu bersaing di pentas global dan mengubah landskap industri penerbangan negara selaras dengan label syarikat itu, ‘Now Everyone Can Fly’. Fernandes turut berkata, kejayaan AirAsia bukan sahaja merupakan manifestasi kejayaan negara tetapi merupakan simbol kejayaan masyarakat majmuk dalam menguruskan sebuah syarikat perniagaan. Katanya lagi, “kami di AirAsia memang suka berkawan dan kami melantik kawan-kawan daripada pelbagai latar belakang dan keturunan untuk menjadi rakan kongsi kami. Ternyata formula ini telah membuahkan kejayaan kepada AirAsia”.